Alhamdulillah segala pujian dan kebesaran kesyukuran kita kepada-NYA ALLAH S.W.T.
Selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W., para sahabat baginda, tabi’ tabiin, ulama’ umara’, pejuang-pejuang agama ALLAH, kaum muslimin dan muslimat kesemuanya. Semoga kita terus dikurniakan nikmat kemuliaan dalam Iman dan Islam!

Hari ini, saya baru menaip untuk pertama kalinya dalam Tahun Baru Masehi 2009 dan paling indahnya berada dalam Tahun Hijriah ke-1430. Allahuakbar!

Hari ini masuknya hari ke-3 persekolahan bagi negeri-negeri yang bermula pada Ahad lalu dan juga hari ke-2 persekolahan bagi negeri-negeri yang bermula semalam. Selamat pagi Cikgu! Selamat pagi Murid-Murid! Selamat Petang Pendidik! Selamat Petang Anak-Anak Pelajar! Semoga semuanya ceria memulakan persekolahan di awal tahun ini.

Bagi guru-guru dan murid-murid yang berada di Timur Semenanjung, atau mana-mana tempat yang dilanda bencana banjir, banyakkan bersabar dan tabah menghadapi ujian tersebut.

Pagi ini, Alhamdulillah saya sempat meluangkan sedikit masa untuk melihat dan mendengar siaran Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3. Slot yang dipengerusikan oleh Puan Nurafenda Ibrahim ( Kak Fenda ). Slot berkenaan saya rasakan ia berkisar tajuk Sekolah Berasrama Penuh. Panel jemputannya ialah Dr Harlina Halizah Siraj Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Menarik topik yang dibincangkan ini, tak sempat saya untuk berkongsi di Talian Bebas Tol MHI🙂
Tajuk ini bertepatan dengan diri saya kerana mendapat tarbiyah akademik dan agama di Sekolah Berasrama Penuh ( SBP ). Ribuan penghargaan saya utuskan buat semua pendidik di SBP, sekolah teknik dan vokasional, sekolah agama negeri, sekolah agam persekutuan, sekolah integrasi, sekolah menengah dan semua sekolah rendah! Penghargaan atas jasa dan pengorbanan kalian semua untuk mendidik anak-anak kecil hinggalah anak-anak remaja. Juga tidak dilupakan guru-guru PASTI, Tadika KEMAS, Pusat Bimbingan Kanak-Kanak atas jasa kalian mengenalkan kami dengan apa itu huruf ABC dan abjad nombor 123. Semoga ALLAH S.W.T. membalas jasa kalian yang tidak akan dilupakan ini.

Kita soroti semula kisah dalam MHI pagi tadi, berkenaan tajuk Sekolah Berasrama Penuh ini. Ya, saya ucapkan Selamat Teruskan Tugasan Medidik buat guru-guru saya di mana jua kalian berada. Berikut adalah laluan pendidikan saya di dalam sistem pendidikan negara :

(1) Taman Bimbingan Kanak-Kanak (KEMAS), Kampung Larut Tin, Taiping, Perak.
(2) Sekolah Rendah Kebangsaan Saint George (1) Taiping, Perak.
(3) Sekolah Kebangsaan Seri Kerian, Parit Buntar, Perak.
(4) Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
(5) Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), Batu Pahat, Johor. Kini dikenali sebagi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( UTHM )

Itu antara sekolah dan pusat pentarbiyahan diri yang dijalani oleh saya secara formalnya dalam sistem pendidikan kita. Alhamdulillah, pendidikan tidak formal juga diberikan oleh kedua ibu bapa yang saya cintai! Dalam suasana pendidikan di sekolah berasrama penuh selama 5 tahun ( mulai tingkatan 1-5 ), saya merasakan satu kenangan yang indah dengan 1010 macam kenangan pahit manis bersama rakan-rakan di asrama dan juga sekolah. Pastinya bila ada Gathering@Reunion@TT (Teh Tarik ) bersama rakan-rakan sekolah lama, satu cerita di sekolah pastinya menjadi agenda sembang kami!

Dari makan nasi kawahnya, gulai kari ayam kampung, biskut Mary cecah air teh, basuh baju tepi kolah, bunyi loceng ke kelas Persediaan ( Prep ), solat berjemaah di Masjid, berusrah, roll-call, spot check, dan macam-macam lagi jadual yang amat memberikan kesan “berdikari” dan “berdiri-sendiri” kepada saya dan rakan-rakan dan juga anda yang pernah berada di sekolah berasrama. Saya mengucapkan selamat melangkah ke alam sekolah berasrama buat adik-adik yang akan memulakan pendaftaran di sekolah-sekolah berkenaan. Gunakan peluang untuk mentarbiyahkan diri di alam persekolahan asrama dan yang paling utamanya lupakan dulu niat berASMARA di sekolah berASRAMA:)

Tak kesampaian saya nak tulis semuanya di sini. Saya buka ruangan ini kepada anda semua yang mempunyai pandangan mengenai suasana pendidikan di sekolah berasrama ( samada penuh atau tidak penuh ). Semoga perbincangan kita ini menjadi satu manfaat untuk dijadikan panduan dan titik tolak anjakan positif kemajuan pendidikan negara!
Salam juang.
Nizam83.wordpress.com
9 Muharam 1430
6 Januari 2009