Assalamualaikum wbt. Hari ini saya sempat berjemaah Subuh di Masjid Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal ( Sempadan tanah Perak dan Pulau Pinang ). Alhamdulillah diberikan ALLAH S.W.T. kesempatan ruang dan masa yang ada ini untuk saya berkongsi pengisian di antara kita semua.  Semoga ianya boleh memberikan kita cetusan ingatan dan panduan untuk terus dan meneruskan kehidupan dunia ini menuju perjalanan ke akhirat.

Pagi ini, seawal jam 4.00 pagi, mata saya terjaga, Allahuakbar! Syukur  pada-MU Ya ALLAH..Bingkas bangun, siapkan lauk-pauk untuk sahur buat emak, abah dan adik-adik:). Panaskan saja lauk-pauk lebihan masakan semasa berbuka, rezeki dari ALLAH S.W.T.

Sesudah Subuh, ada Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Izab Hambali, seorang tokoh ilmuan dan motivator yang tidak asing di kawasan sekitar kampung saya ini. Dalam isi kuliah dan tazkirah yang disampaikan beliau ialah menyentuh bab ‘Nila Taqwa’.  Terlebih dahulu, saya memohon agar apa yang saya sampaikan ini menjadi utamanya nasihat buat diri saya yang lemah ini. Jika ada kekurangan dan kesilapan, tuan-tuan, tetamu sekalian boleh menegur dan menambahbaik usaha mulia ini.

Daripada isi penting yang dapat saya keluarkan kembali di sini ialah bagaimana sifat ketakwaan seorang pemimpin seperti Khalifah Umar Al-Khattab. Kagum saya mendengar pengkisahan tentang tokoh ini. Tokoh pemimpin bijak dan amat cekap dalam pentadbiran pada zamannya ini boleh kita jadikan teladan bersama dalam membina nilai-nilai jatidiri seorang muslim untuk menyuburkan lagi benih-benih Iman dan takwa kita.

Sifat-sifat kepemimpinan Khalifah Umar ini mengagumi saya dan kita semua. Saya menyarankan diri saya dan kita semua agar rajinlah meneliti semua pengkisahan sejarah kegemilangan Tamadun Islam dan perjalanan sirah Nabawiyyah tidak kira apa juga bidang yang kita ceburi kini. Samada kita penganggur, buruh, nelayan, petani, pekerja am, tukang kebun, pendidik, mekanik kenderaan, operator pengeluaran, kerani,peguam, jurutera, akauntan dan sebagainya, ayuh bina Iman dan Taqwa dalam diri kita! Moga beroleh kekuatan diri dalam Universiti dan Madrasah Ramadhan kali ini. Saya gentar bila memikirkan, jika Ramadhan kali ini yang terakhir buat diri ini………

Saya tinggalkan coretan sedikit saya pada pagi mulia ini dengan beberapa maklumat yang saya jumpa di sebuah blog iaitu : http//kmelaka.wordpress.com .Ini maklumat yang berkenaan dengan diri Khalifah Umar Al-Khattab :

Umar Sebagai Orang Yang Pertama

  1. Pertama digelar Amirul Mukminin
  2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
  3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum arak
  4. Pertama mengharamkan nikah mut’ah
  5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
  6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
  7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
  8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
  9. Pertama memperkenalkan Al-’Aul dalam masalah Faraid (harta pusaka)

Umar Dan Al-Quran
Saidina Umar Al-Khattab mempunyai pemikiran yang sangat hebat. Beberapa pendapatnya merupakan sebab turunnya al-Quran. Di antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sempena pendapat beliau ialah :

  1. Kisah tawanan Badar – ayat 28 Surah Al-Anfal
  2. Ayat Menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat – Ayat 125 Surah Al-Baqarah
  3. Ayat Hijab – Ayat 53 Surah Al-Ahzab
  4. Ayat tentang asal-usul kejadian manusia – Ayat 12 Surah Al-Mukminun
  5. Ayat tentang arak – Ayat 219 Surah Al-Baqarah dan Ayat 43 Surah An-Nisa’
  6. Ayat Larangan Mensolati Jenazah Orang Munafiq – Ayat 84 Surah At-Taubah
  7. Kisah orang Munafiq – Ayat 6 Surah Al-Munafiqun
  8. Ayat 5 Surah Al-Anfal
  9. Ayat 16 Surah An-Nur
  10. Ayat tentang penghalalan jima’ di malam bulan Ramadhan – Ayat 187 Surah Al-Baqarah
  11. Ayat 97 Surah Al-Baqarah
  12. Ayat 65 Surah An-Nisa’
  13. Ayat 13 Surah Al-Waqiah

Sekian, bicara pagi Rabu, 11.24pagi

10 Ramadhan 1429H