Alhamdulillah segala pujian bagi-NYA ALLAH S.W.T Maha Pencipta sekalian yang ada di dunia ini. Sepanjang-panjang lafaz kesyukuran saya kerana dapat diberikan ruang dan masa untuk mengaktifkan jari-jemari ini menaip dalam ruangan maya ini.

Minggu ini kita melalui satu sejarah hari yang sewajibnya juga diingati oleh semua manusia sekelian alam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj yakni peristiwa malam 27 Rejab, kekasih ALLAH S.W.T. Nabi Muhammad S.A.W. memenuhi jemputan bertemu dengan-NYA. Teguhkan keimanan kita dengan peristiwa ini! Semoga peristiwa yang bersejarah ini menjadi suri teladan buat kita dalam sama-sama menyemai suburnya benih-benih iman dan takwa kita kepada ALLAH S.W.T. Jadikan pedoman peristiwa ini sebagai satu garis panduan kita dalam mendepani hari-hari yang semakin mencabar dan menganggu gugat iman kita. Mukjizat dan kebesaran untuk Nabi Muhammad S.A.W. yang dikurniakan ALLAH S.W.T. menggambarkan kepada kita, kekuasan dan keagungan kuasa-NYA itu tiada tandingannya dengan ciptaan Sains yang sememangnya dari akal manusia biasa. Itu antara ingatan dah juga mutiara tazkirah yang dapat saya kutip melalui ceramah Israk Mikraj di Masjid kawasan kariah tempat saya tinggal. Info : Ceramah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dr. Abdul Aziz Bin Hanafi, Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah.

Minggu ini juga saya juga telah mengikuti satu taklimat berkenaan dengan perlaksanaan pembayaran zakat melalui potongan gaji pekerja di negeri Kedah Darul Aman. Berikut saya lampirkan satu paparan berkenaan kepentingan Zakat ini sebagai sumber utama kewangan Islam untuk tatapan kita bersama :

ZAKAT SUMBER KEWANGAN UTAMA DALAM ISLAM

PENGENALAN

Pada umumnya zakat ialah satu peraturan kewangan yang tiada tolak bandingannya didalam sejarah kehidupan sosial dan ekonomi manusia. Peraturan-peraturan kewangan yang begitu syumul (sempurna) seperti zakat tidak juga pernah diketahui secara teratur oleh agama-agama sebelum Nabi Muhammad S.A.W.
Di antara peraturan-peraturan zakat adalah :

1) Peraturan Harta Benda dan Kewangan

Ini ialah kerana zakat merupakan sumber kewangan negara dan masyarakat Islam dan aliran pengumpulan harta benda yang berkekalan bagi “Baitulmal” (perbendaharaan) selain itu zakat merupakan “cukai harta khas” yang diwajibkan ke atas harta-harta dan hasil pendapatan seorang muslim.

2) Peraturan Ekonomi
Adalah jelas hukum dan Fiqh Zakat sejak zaman Rasulullah S.A.W., sampai kepada para Khulafa’ Ar Rasyidin dan abad-abad berikutnya didalam pemerintahan Islam hasil mahsul pengumpulan zakat tidaklah boleh dibekukan. Malahan syarak menghendaki dilaburkan supaya kedudukan ekonomi bertambah kukuh.

3) Peraturan Kemasyarakatan
Adalah jelas bahawa zakat menjamin kesentosaan hidup bermasyarakat dan kebahagian. Golongan tidak berada dan mereka yang memerlukan bantuan, kerana sasaran utama zakat ialah Fuqarak Wal Masakin, mereka yang dibelenggu hutang dan Fi Sabilillah. Justeru itu Islam tidak membenarkan wujudnya jurang yang dalam memaksa (mewajibkan) antara mereka yang berada dan tidak berada, maka zakat bayaran zakat keatas orang-orang kaya dan mereka yang berharta. Menurut peraturannya dan syarat-syaratnya. Untuk diberi serta dialihkan dengan saksama kepada golongan tidak berada dengan demikian keadilan bermasyarakat dapatlah dirasakan bersama. Maka penyakit bermasyarakat seperti keegoan, bakhil dan mementing diri sendiri dapat dibanteras.Ini dalam jangka panjangnya jika terlaksana dengan baok akan melahirkan rasa “ihsan” – dalam masyarakat Islam.Rasa ihsan itu adalah perkara utama keharmonian masyarakat menuju “Masyarakat Madani”.

4) Peraturan Politik
Justeru pungutan, penguatkuasaan,pengumpulan,pengagihan dan pentadbiran hal ehwal zakat serta mereka yang memungut zakat dan menerima zakat perlu kepada satu penguatkuasaan undang-undang (enforcement) terutama bagi menghadapi mereka yang dengan sengaja atau tidak ingkar membayar zakat, maka zakat dan hal ehwalnya tidaklah terlepas daripada tanggungjawab kerajaan .

5) Peraturan Budi Pekerti
Tidaklah syak bahawa zakat sesuai dengan nama dan falsafahnya (Az Zakat) adalah membersihkan jiwa dan harta serta membina keteguhan rohani ummah. Keteguhan rohani yang akan menimbulkan keluhuran budi. Kesannya akan memberi kebebasan bermasyarakat serta menggalakkan pembangunan semangat berusaha dan memelihara maruah.Daripada seni teguhlah aqidah dan budi pekerti.

6) Peraturan Agama
Akhirnya, janganlah lupa bahawa zakat adalah rukun Islam ketiga. Ianya merupakan pengabdian diri (ibadat) kepada Allah Azzawajalla melalui harta. Membelanjakan harta seperti dikehendaki, zakat adalah salah satu daripada sendi-sendi utama mentaati Allah Azzawajalla yang diwajibkan dan menjadi ciri-ciri khas kehidupan seorang Islam yang berharta.

Tulisan Oleh :Syeikh Salleh bin Dato’ Haji Abdul Rahman
Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah.

Sumber : http://www.zakatkedah.com

—————————————————————————————

Semoga saya dan anda diberikan kekuatan untuk menjana Iman dan ketaqwaan ini dalam menjalani kehidupan hari demi hari, saat demi saat. Saya memohon maaf atas ketelanjuran salah silap bahasa dan fakta atas coretan saya. Teguran daripada anda amat bermakna untuk membantu kelemahan dan kekurangan daripada pihak diri saya.

Sekian, bicara tengahari Khamis, 30 Julai 2008 bersamaan 28 Rejab 1428H.