Alhamdulillah segalanya berjalan baik pagi ini. Sepanjang kesyukuran kepada ALLAH S.W.T. Yang Maha Kuasa, Maha Agung, Maha Segalanya. Diri ini berdoa agar keselamatan dan dalam redhaNYA sepanjang harian menjalani tugas sebagai hambaNYA yang kerdil ini.

Salam tautan mahabbah buat semua yang tidak jemu-jemu datang belayar atau singgah sebentar ke “R&R” persimpangan Nizam83.wordpress ini. Semoga ditambahkan nikmat Iman dan Taqwa kita!

Sepanjang minggu lepas, saya bercuti dari alam kerjaya sebagai anggota pendidik. Hari ini bermula semula tugasan ‘Punch Card’ saya di pejabat. Untuk 2 minggu ini, kami agak sibuk untuk menimang anak-anak didik yang baru. InsyaALLAH bakal mendaftar pada 14 Julai 2008 ini. Diharapkan agar segalanya berjalan dengan baik dalam lindungan ALLAH S.W.T pencipta alam ini!

Beberapa hari ini, kita melihat atau sudah pun mengetahui kebanyakan IPTA di Malaysia sudah pun melabuhkan bahtera mereka buat menyambut kedatangan para mahasiswa dan mahasiswi baru untuk semester ini. Tahniah dan semua ucapan positif saya buat kalian yang meneruskan pengajian di Menara Ilmu! Selamat meneruskan cita-cita dan Cintailah ilmu dengan sebaik-baiknya semasa di alam kampus.

Jadikanlah setiap langkahan anda berMAKNA di dunia kampus, alam Univerisiti, Politeknik dan Kolej Komuniti, Pusat Latihan Perindustrian dan mana-mana juga pusat institusi pendidikan di dalam mahupun luar negara. JANAkan ia sebagai satu langkahan yang terbaik untuk mendidik Diri, Keluarga, dan Ummah serta Agama. Yang paling penting dan utamanya untuk langkah-langkah kita mendidik diri untuk merasai kasih sayang ALLAH S.W.T. InsyaALLAH kita sama-sama mencarinya!

Ayuh kita renungi sejenak kisah peristiwa 7 orang anak muda ( pemuda ) yang menjadi penghuni gua selama 309 Tahun lamanya dalam keadaan mereka ditidurkan Allah S.W.T. Kekuatan iman mereka mempertahankan agama Suci ini dan dari kezaliman kerajaan pemerintah ( Rom ketika itu ). Mereka ini diberikan kekuatan mempertahankan iman mereka dan ALLAH campakkan hidayah dalam hati nurani mereka. Kekentalan Istiqamah mereka yang paling kita kagumi! Baca lagi peristiwa mereka dalam Surah Al-Kahfi supaya kita dapat sama hadami dan lakukan yang terbaik untuk kita menjadi Pemuda-Pemudi yang BerMAKNA dan DiJANA dengan baiknya!

Segalanya saya sudahi dengan memohon keampunan jika ada salah bahasa dan kasar kata-kata. Harapan membina daripada kalian semua untuk membantu memperbaiki kelemahan diri saya dalam arena penulisan ini

Sekian, bicara tengahari Khamis bersamaan 7 Rejab 1429H.

1.30petang.

Selamat Menunaikan Kewajipan, Ayuh Menuju Kejayaan, Ayuh Dirikanlah Solat!