Alhamdulillah segala pujian buat Yang Maha Kuasa ALLAH S.W.T berkat kuasanya jua, saya dan teman-teman bekas pelajar SMSTSSS Bukit Mertajam, Pulau Pinang ( SPM 2000 ) telah berjaya melaksanakan projek motivasi pelajar di sekolah yang tercinta!

Projek motivasi ini diberi nama My-Team 2008 ini bertemakan Satu Pasukan, Satu Matlamat telah dijalankan pada 14-15 Jun 2008 yang lepas. Langkahan kami ke bumi kecil SokSek dengan penuh rasa syahdunya kenangan dan memori 8 tahun berlalu selepas meninggalkan sekolah.

Di sini saya lampirkan serba sedikit laporan untuk program berkenaan, semoga ianya menjadi titik tolak terbaik buat gerak kerja kita meneruskan kecemerlangan di Sekolah Dunia menuju pengakhiran Akhirat kelak!

Program bermula dengan Sesi Ice-Breaking yang dipertanggungjawab kepada diri saya bermula jam 3.15 petang berakhir dengan pembahagian kumpulan sebanyak 9 buah kumpulan pelajar; ( 3 buah kumpulan perempuan dan 6 buah kumpulan pelajar lelaki ). Untuk info: Kumpulan pelajar ini semuanya adalah terdiri daripada pelajar tingkatan 1 SMSTSSS.

Pada sesi riadahnya, permainan ‘Blind Soccer’ menguji kecekapan adik-adik MY-Team untuk mengasah bakat bermain bola sepak sambil mata ditutup dengan lilitan kain.

Untuk sesi malamnya selepas maghrib, peserta adik-adik ini didedahkan dengan slot keinsafan melalui modul kerohanian yang dibawa oleh sahabat saya Saudara Abdul Muiz ( Engineer di Silterra, Hi-Tech, Kulim )

Selepas solat Isyak, sesi Kembara Si Musafir Malam pula menguji para peserta ini. Melalui ‘Blind-Train’ mereka diuji ‘Kesabaran’ untuk menguji ke check point halangan ‘Spider-Web’ dan seterusnya menguji kecekapan menyusun paku-paku serta akhirnya lintasan batu-bata.

15 Jun pagi, sesi riadah diceriakan dengan instruktor seorang Jurutera dari Petronas Saudara Amirool Bismie dengan ilmu tarian poco-poconya. Wah! Hebatnya dari lapangan minyak dan gas, rakan saya ini turut berilmu dalam tarian poco-poco yang amat ceria keseniannya itu!

Sesi pagi ini diteruskan lagi dengan Forum Khas bersama calon-calon SPM 2008 SMSTSSS. Skop perbincangan pagi itu menjurus kepada halatuju kerjaya dan juga pengajian dalam bidang kejuruteraan. Forum ini dijalankan secara santai seakan dialog soal jawab bersama adik-adik SPM ini. Kami dibanjiri dengan pelbagai persoalan mengenai kehidupan seorang jurutera, dunia pendidikan, sains teknologi dan nostalgia hidup sebagai seorang pelajar Sekolah Berasrama Penuh ( SBP ).

Sesi Aktiviti Dalam Kumpulan yang terakhir ialah ‘Modul Pokok Ajaib’ yang menguji keberkesanan fokus dan pendengaran peserta kepada arahan yang dikeluarkan oleh fasilitator. Alhamdulillah, adik-adik ini mempersembahkan yang terbaik daripada hasil usahasama mereka dalam menjayakan modul berkenaan.

Buat pengakhiran program ini, ‘Terima kasih semua, semoga kita dapat bekerjasama lagi ” itu kata-kata Sistem Pesanan Ringkas ( SMS ) yang saya terima daripada cikgu kaunseling sekolah, Puan Rosnani.

Terima kasih dan juga penghargaan yang terbaik buat kalian yang memberikan komitmen dalam semua aktiviti yang dijalankan serta yang turut menyumbang dana dan mendoakan kelancaran program ini. Semoga dirahmati-NYA!