Salam tautan kasih sayang dari saya untuk kalian semua. Kepada semua pekerja di seluruh Malaysia, Selamat menyambut Hari Pekerja 1 Mei 2008 pada esok hari. InsyaALLAH dengan izin-NYA jua, kita dapat bernafas untuk kesekian kalinya. Alhamdulillah, saya masih dapat meneruskan coretan isi hati, gerakan jari-jemari di alam maya ini.

Saya cuba membawa satu kisah yang saya lalui hari ini. Pada pagi ini, saya menjalankan satu temuduga untuk pelajar bimbingan saya yang telah terlibat untuk Latihan Praktikal di Industri selama 5 bulan 22 minggu pada sekitar Julai sehingga Disember 2007 yang lalu. Dalam sesi temuduga tersebut beberapa tips sebagai persediaan untuk temuduga kerjaya telah saya kongsikan bersama mereka. Rasa ingin berkongsi pengalaman temuduga kerja dengan mereka supaya perkongsian ini dapat memberikan manfaat untuk diamalkan.

Dalam sesi pertemuan saya dengan mereka, banyak yang saya sentuhkan mengenai persedian sebelum, semasa dan selepas ditemuduga. Antara aspeknya ialah persedian mental, fizikal dan emosi diri. Ini adalah penting untuk menyediakan diri menghadapi situasi semasa disoal oleh penemuduga.

InsyaALLAH dengan rasa rendah dirinya juga, saya mengajak perkongsian ilmiah mengenai tips-tips temuduga ini dapat kita kongsikan bersama di ruangan maya ini. Di sini saya ingin juga kongsikan dapatan ilmu dan coretan yang sempat saya kutip di dalam satu kursus yang telah saya hadiri. Saya kongsikan dengan anda semua mengenai satu perkara yang amat penting dalam satu sesi temuduga. Ianya adalah ‘KOMUNIKASI BERKESAN‘. Anda tahu kan, Komunikasi itu apa?

Antara petua yang membolehkan untuk kita mempertingkatkan daya komunikasi yang berkesan ialah :

(1) Tingkatkan kemahiran komunikasi dalam organisasi atau di luar organisasi. Contohnya dalam satu kumpulan pelajar/siswa, cuba amalkan satu kemahiran berkomunikasi yang baik. Perbanyakkan budaya berbincang, soal jawab dalam sesuatu sesi pertemuan.

(2) Tingkatkan tahap keyakinan diri. Cuba atasi sindrom ‘Takut’ berkomunikasi.

(3) Tingkatkan kebolehan menyampaikan mesej semasa proses Pembelajaran dan Pengajaran iaitu di dalam kelas.

(4) Tingkatkan kebolehan menjadi ‘Pendengar’ yang baik.

Antara lain yang boleh dikongsikan mengenai komunikasi berkesan ini boleh anda perolehi di weblog lama saya http://pekem.blogspot.com

Semoga dengan tips yang baik ini, dapat kita menjadi pekerja yang dapat ‘KERJA’ dengan penuh iltizam dan kesungguhan mencapai keredhaan-NYA. Allahuakbar!

Sekian, bicara tengahari Rabu

30 April 2008 bersamaan 23 Rabiul Akhir 1429H.