Tuan-tuan semua! 8 Mac 2008 ini bakal menyaksikan satu lagi detik bersejarah akan berulang bila tibanya satu hari “Raya” lagi iaitu Pilihanraya Malaysia yang ke-12 kalinya.

Detik ini sememangnya akan menjadi penantian semua rakyat Malaysia tidak kira pemimpin, rakyat,wartawan, duta asing, pendatang asing dengan Izin dan Tanpa Izin, penjual roti canai, penarik beca, pengurup wang berlesen, anak-anak Tadika pun menanti kehadiran suasana kemuncak hari pemilihan tampuk pemerintahan negara yang baru.

Saudara saudari semua, memang ke mana sahaja ceruk dan lorong di Malaysia ini, akan pastinya dilanda “Demam Panas” Pilihanraya dalam saat 2 minggu sebelum hari jadinya pembuangan undi ini. Bendera, poster, iklan, banting, belon semuanya tergantung, digantung, ditampal,diedarkan serta tiang-tiang buluh menegakkan kibaran bendera parti-parti politik yang bakal bertanding. Kawasan bandar dan kampung, taman dan tebuk-tebuk ( kawasan kampung yang ada tali air+bendang+parit), semuanya meriah dengan warna-warni bendera di sana sini. Inilah indahnya suasana musim demam pilihanraya di Malaysia.

Tidak kurang indahnya, media masa, radio, televisyen, internet setiap masa tidak putus-putus membicarakan serta memaparkan isu berkaitan dengan Pilihanraya Umum ke-12 ini. Di kelopak biji mata kita pun, setiap hari terpapar perkataan PRU-12!!

Buat generasi muda, rakan-rakanku di luar sana,

Apa khabar anda semua? Bagaimana dengan kerja dan tugasan hari ini? Generasi muda yang baru pertama kalinya akan keluar mengundi pada 8 Mac 2008 ini tentunya tidak sabar-sabar lagi untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Tahniah buat yang sempat mendaftar! Untuk rakan-rakanku yang belum mendaftar, ataupun ada juga yang berkata, “Alamak…terlupa beb! Lupa gua nak daftar pemilih…”. Ini salah satu ayat yang saya dapati dari jawapan anak-anak muda yang tidak dapat mengundi pada hari bersejarah itu. Ada pula yang mengatakan, “Hmm…wa tak tau la nak pangkah sapa,”dengan nada agak sinis dan kecewa dengarnya. Ditambah pula dengan kata-kata putus harapan,” Kalau aku pangkah dia, apa yang untungnya, tengok jalan kat kampung aku tu pun, sama saja…tanah merah berselut lagi dari dulu lagi…dah lama dah!!”. Semua ini ayat-ayat biasa yang keluar dari mulut manusia tidak kira muda atau tua.

Syabas juga buat anak-anak muda, generasi baru yang akan keluar mengundi nanti. Teruskan tujuan anda untuk memilih pemimpin yang terbaik. Buat warga Malaysia semua, yang layak mengundi, tunaikan kewajipan kalian pada hari yang ditetapkan.

Buat bakal-bakal calon yang telah dinamakan untuk bertanding, laksanakan satu pertandingan yang baik, bersih, penuh keadilan, makmur dan aman untuk mencorakkan satu kepemimpinan yang terbaik. Jadikan akhlak mulia sentiasa bersama kita untuk menjadikan “demam pilihanraya” ini satu peristiwa yang memberikan manfaat terbaik untuk semua.

Kepada semua petugas-petugas Parti yang bertanding, bekerjalah dengan usaha yang terbaik, jaga adab dan sopan, sentiasa menjaga hubungan sesama manusia dan paling utamanya hubungan kita dengan Tuan Punya Dunia, ALLAH S.W.T.! Jaga setiap masa kerja dan tugas kita itu, jangan kita lalai dengan sibuk menaikkan bendera, menampal poster tanpa pedulikan panggilan menunaikan Solat menghadap-NYA.

Semoga kita diredhai-NYA. Selamat Berpilihanraya buat Semua!