Allahuakhbar, Maha Besar Kuasa-Mu Ya ALLAH!

Segala pujian bagi-Mu, selawat dan salam untuk Rasul junjungan, kaum keluarga, sahabat-sahabat baginda, ulama’ serta para tabiin. Untuk semua umat Islam, didoakan juga kesejahteraan dengan limpah nikmat kurniaan ilahi di muka dunia ini. Semoga hati dan benak jiwa kita ini terus subur dengan kalimah syahadah dan nur iman dalam kecintaan kita kepada nikmat Islam dan Iman.

Saudara saudari yang dirahmati ALLAH SWT;

Bulan Januari 2008 sudah berakhir, kini sudah melangkah pula ke Februari 2008, bagaimana coretan perjalanan langkah kita? Bulan Muharram 1429H juga kian di penghujungnya, di mana Azam dan Iltizam yang kita coretkan di awal mula tahun baru yang lalu. Respon semula diri kita kepada semua yang kita azamkan untuk laksanakan jika masih belum terlaksana. Biar ada ‘enjin yang masih panas,jangan dibiarkan enjin ‘mati’ di tengah jalan‘.

Akhir Januari yang lalu iaitu dalam tarikh masihi 30.01.2008 – Rabu, bersamaan 21 Muharam 1429H, saya telah berkesempatan menghadiri satu majlis restu ilmu UPSR 2008 di sebuah sekolah di Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak. Syukur atas segalanya, saya telah dipelawa untuk memberikan satu ceramah motivasi buat adik-adik pelajar tahun 6 sekolah berkenaan untuk persiapan dan persediaan diri bagi menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Buat julung kalinya, ini yang pertama bagi diri saya memberikan satu ceramah motivasi untuk pelajar-pelajar. Alhamdulillah, Magnet Diri ( kata sahabat saya – Amin Idris ) itu rasanya ada. Ia ada dalam setiap jiwa manusia, kita perlu keluarkan sahaja!

Dalam sesi saya bersama adik-adik UPSR yang berjumlah hampir 100 orang, segala perkongsian rasa dan jiwa berjaya saya lontarkan. Petua dan tips adalah serba sedikit yang boleh saya kongsikan untuk mereka. InsyaALLAH dengan Izin-NYA jua, saya mendoakan adik-adik itu berjaya dengan 5A yang mereka cita-cita kan.

Diri ini hak milik ALLAH S.W.T., saya syahdu bila melihat ada adik-adik itu yang mengalir air mata ketika sesi bersama ibu bapa dan waris. Mereka yang menangis dan terlalu sedih adalah kerana, tidak berkesempatan untuk bersama ibu bapa ketika sesi Akur Janji UPSR 2008. Ibu Bapa mereka tidak hadir untuk majlis berkenaan. Sedih dan terharu jiwa ini melihat linangan kerinduan air mata mereka setelah ‘cemburu’ dengan rakan-rakan lain yang bersama keluarga. Dalam benak hati saya, mengatakan sesuatu yang positif, mungkin ibu bapa mereka ada  hal kerja atau sebagainya. Ini adalah kerana, kebanyakkan daripada anak-anak ini berasal dari keluarga Nelayan dan Pesawah.

Itulah sifat kita sebagai manusia, memang tidak akan berpisah daripada sifat riang dan duka. Sedih dan gembira ada dalam diri kita! Maha Bijaksananya ALLAH S.W.T. dalam mencipta kita! Bersama kita menuju jalan kejayaan di dunia mahupun dunia akhirat.