Arkib untuk April, 2008

Selamat Hari Pekerja Sedunia!

Posted in Semasa on April 30, 2008 by kayrulzam

Salam tautan kasih sayang dari saya untuk kalian semua. Kepada semua pekerja di seluruh Malaysia, Selamat menyambut Hari Pekerja 1 Mei 2008 pada esok hari. InsyaALLAH dengan izin-NYA jua, kita dapat bernafas untuk kesekian kalinya. Alhamdulillah, saya masih dapat meneruskan coretan isi hati, gerakan jari-jemari di alam maya ini.

Saya cuba membawa satu kisah yang saya lalui hari ini. Pada pagi ini, saya menjalankan satu temuduga untuk pelajar bimbingan saya yang telah terlibat untuk Latihan Praktikal di Industri selama 5 bulan 22 minggu pada sekitar Julai sehingga Disember 2007 yang lalu. Dalam sesi temuduga tersebut beberapa tips sebagai persediaan untuk temuduga kerjaya telah saya kongsikan bersama mereka. Rasa ingin berkongsi pengalaman temuduga kerja dengan mereka supaya perkongsian ini dapat memberikan manfaat untuk diamalkan.

Dalam sesi pertemuan saya dengan mereka, banyak yang saya sentuhkan mengenai persedian sebelum, semasa dan selepas ditemuduga. Antara aspeknya ialah persedian mental, fizikal dan emosi diri. Ini adalah penting untuk menyediakan diri menghadapi situasi semasa disoal oleh penemuduga.

InsyaALLAH dengan rasa rendah dirinya juga, saya mengajak perkongsian ilmiah mengenai tips-tips temuduga ini dapat kita kongsikan bersama di ruangan maya ini. Di sini saya ingin juga kongsikan dapatan ilmu dan coretan yang sempat saya kutip di dalam satu kursus yang telah saya hadiri. Saya kongsikan dengan anda semua mengenai satu perkara yang amat penting dalam satu sesi temuduga. Ianya adalah ‘KOMUNIKASI BERKESAN‘. Anda tahu kan, Komunikasi itu apa?

Antara petua yang membolehkan untuk kita mempertingkatkan daya komunikasi yang berkesan ialah :

(1) Tingkatkan kemahiran komunikasi dalam organisasi atau di luar organisasi. Contohnya dalam satu kumpulan pelajar/siswa, cuba amalkan satu kemahiran berkomunikasi yang baik. Perbanyakkan budaya berbincang, soal jawab dalam sesuatu sesi pertemuan.

(2) Tingkatkan tahap keyakinan diri. Cuba atasi sindrom ‘Takut’ berkomunikasi.

(3) Tingkatkan kebolehan menyampaikan mesej semasa proses Pembelajaran dan Pengajaran iaitu di dalam kelas.

(4) Tingkatkan kebolehan menjadi ‘Pendengar’ yang baik.

Antara lain yang boleh dikongsikan mengenai komunikasi berkesan ini boleh anda perolehi di weblog lama saya http://pekem.blogspot.com

Semoga dengan tips yang baik ini, dapat kita menjadi pekerja yang dapat ‘KERJA’ dengan penuh iltizam dan kesungguhan mencapai keredhaan-NYA. Allahuakbar!

Sekian, bicara tengahari Rabu

30 April 2008 bersamaan 23 Rabiul Akhir 1429H.

Nikmat Jalan Juang

Posted in Semasa on April 29, 2008 by kayrulzam

Salam Kasih Sayang buat semua dari diri ini untuk rakan-rakan, teman tetamu sekalian. Alhamdulillah, hari ini sempat saya untuk menulis sesuatu di sini. Setelah beberapa harinya tidak mencoretkan sepatah dua perkataan di ruangan maya ini. Setiap manusia ada jalan yang pastinya akan dilalui, diredahi dan diterokai. Kadang-kadang jalan itu akan membawa kita ke pengakhiran yang baik dan ada yang sebaliknya. Pemilihan jalan yang sesuai hendaklah kita fikir sedalam-dalamnya dan seampuhnya untuk bekalan kita di Madrasah Kehidupan Dunia ini bagi memperolehi kejayaan semasa Konvokesyen Umat Manusia di pertemuan Mahsyar nanti.

Saya baru-baru ini bertemu dengan beberapa orang teman yang turut sama membantu gerak kerja dakwah ini melalui pertubuhan-pertubuhan NGO Islam yang ada di Malaysia ini. Alhamdulillah melalui perkongsian rasa dan cetusan idea, perkenalan dan sembang-sembang santai itu melahirkan satu kekuatan sendi-sendi untuk meneruskan cita dan Cinta kita kepada Agama yang disayangi ini!

Saya mengajak diri saya yang utamanya untuk berkongsi dengan kalian semua mengenai apa juga perkara yang kita rasakan ada manfaatnya untuk kita semua! Semoga yang bekerja dalam jalan juang yang baik ini akan dapat nikmat dan kemanisannya :)

Bulan Beriadah

Posted in Semasa on April 23, 2008 by kayrulzam

Alhamdulillah,saya ambil kesempatan sedikit di ruang rehat masa kerja ini untuk tulis sesuatu. Dipanjangkan kesyukuran kepada-NYA saya berkesempatan lagi untuk menyatakan perjalanan langkah demi langkah kehidupan saya d lembaran maya blog ini.

Untuk minggu ini dan bulan ini khususnya April-Mei ini saya banyak terlibat dengan aktiviti riadah yang mana lebih tepatnya dengan aktiviti bersukan. Mana tidaknya, diamanahkan untuk sama-sama melatih para pelajar saya yang akan mewakili ‘Team Kami’ pada Karnival Sukan Mei nanti :) Ya, itu memang sukan kegemaran saya, apalagi kalau bukan permainan popular dunia “Bola Sepak” dan juga “Futsal”.

Lega rasanya bila dapat mengeluarkan pecahan peluh-peluh ini untuk menyihatkan badan:). Otak cergas, barulah Ion-Ion Positif dan Negatif dalam badan dapat mengecas! Melalui permainan bola sepak juga, kemahiran memimpin pasukan, mengurus dan merancang strategi dan taktikal permainan menjadi formula paling penting untuk kejayaan sesebuah pasukan. Pembentukan pasukan yang baik ditambah lagi dengan kemahiran para pemain menterjemahkan kawalan emosi mereka dengan baik. Kejaayan dalam sistem pembelajaran juga boleh diambil ceduk melalui kaedah permainan bola sepak. Cuba kita fikirkan bersama:)

Selamat Bekerja!

Sekian, bicara tengahari Rabu

1240 pm. 16 Rabiul Akhir 1429H

Hidup Sedap Dengan Islam

Posted in Pendidikan on April 17, 2008 by kayrulzam

“Yang paling jauh bukannya bintang,mentari atau rembulan,tapi adalah masa yang berlalu dan takkan kembali,kelmarin yg hadir menjadi kenangan, semalam yg luput mengukir sesalan,yg ada hanya hari ni dan akan datang…Gunakan hari ini sebaik mungkin kerana esok belum tentu milik kita,sedangkan semalam telah pergi buat selamanya”

Kata-kata di atas saya ambil dari satu ‘message forward’ di dalam rangkaian Yahoo Messenger kepunyaan diri ini. Alhamdullillah, hari ini tika dan detik ini dapat saya mengerakkan lagi jari-jemari ciptaan Yang Maha Kuasa ini, untuk menulis sesuatu.

Saudara saudari sekalian,

Saya cuba memetik satu kandungan tajuk dalam buku karangan Fathi Yakan iaitu “Apa Ertinya Saya Menganuti Islam”. Daripada pembacaan saya sebelum melabuhkan mata di persada bantal dan tilam malam tadi, sempat saya membelek kembali isi kandungan buku ini. Antara isi kandung dalam petikan Bab ke-6 buku ini ialah adalah seperti berikut :

Keimanan saya dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.

A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani.

Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.

B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat).

Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri “infitah” (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri “infitah” ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari “Sibghah Rabbaniyah” itu sendiri.

C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah).

Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti “Sibghah” atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya.

D. Manhaj Islam Bersifat Syumul atau Menyeluruh.

Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.

E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia.

Kemudian saya harus mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya dari ciptaan insan.

E.1 Kegagalan Sistem Sosial.

Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan atau kirinya ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang ditanggung oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan kekeluargaan semakin terburai. Kasih-sayang semakin pudar, akhlak semakin luntur dan runtuh. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.

E2. Kegagalan Sistem Ekonomi.

Dalam bidang Ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.

E.3 Kegagalan Sistem Politik.

Dalam arena politik sistem-sistem ala ketenteraan, Demokrasi, Republik, yang beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab melahirkan, merangsang serta membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa besar diri dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta bunuh diri (assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.

E.4 Kegagalan Sistem Ketenteraan.

Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa) mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan Palestine dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri Arab yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan politiknya untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan untuk menjamin kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga bertanggungjawab terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah yang membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir Israel dari bumi Palestine.

Teman-teman sekalian, yang di atas ini adalah sebahagian intipati penting untuk saya nukilkan di sini untuk kita sama-sama berkongsi. Di mana Sistem yang digariskan melalui Himpunan Ayat Allah S.W.T dalam Al-Quran Karim dan Susunan terbaik Sunnah Rasulullah S.A.W.

InsyaALLAH semoga kita sama-sama menghayati kebaikan dan keindahan Islam itu dalam kehidupan kita seharian. Saya bukannya ustaz untuk mengajar, saya bukannya orang yang arif dalam hal berkaitan hukum-hakam, saya mohon petunjuk yang baik daripada kalian semua untuk menjadikan kita insan yang benar-benar meyakini akan Masa Depan itu Milik Islam! Tambahan kepada slogan Iklan Aiskrim Cornetto “Hidup Biar Sedap ” – Hidup Sedap Dengan Islam :)

Memotivasikan Diri

Posted in Semasa on April 16, 2008 by kayrulzam

Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran penuh kepada NYA, dapat lagi saya menaip sesuatu di sini :)

Saudara saudari ku sekalian, saban hari kita dipertemukan dengan pelbagai kerja yang perlu dibuat dan patut dibuat. Itu semua akan menjadi rutin harian seorang yang bekerja. Begitu juga dengan adik-adik yang masih memegang gelaran ‘Murid, Pelajar dan Mahasiswa’. Kerja buat ialah ‘Belajar dan Terus Belajar’. Kerja untuk terus belajar bukan hanya difokuskan kepada insan yang bergelar Pelajar sahaja. Malah kita sebagai manusia, Kerja buat kita juga masih belajar sehinggakan di liang lahat pun akan mengalami proses pembelajaran itu.

Hari ini saya ke Sekolah lama saya, ” Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang’. Disana saya telah bertemu dengan Puan Kaunselor Sekolah iaitu Cikgu Rosnani. Tujuan saya ke sana adalah untuk membincangkan satu program Motivasi Pelajar yang dirancangkan oleh rakan-rakan se’batch’ saya. InsyaALLAH, semoga segalanya dapat dilaksanakan sedaya mampu dan sekuat azam yang ada:)

Saya merasakan dengan serba sedikit ilmu dan kemahiran untuk melaksanakan program berbentuk motivasi ini, saya dan rakan-rakan mampu untuk merealisasikan cita-cita program ini. Tatkala mengenangkan beberapa siri motivasi yang pernah saya jalankan, saya terasa ada satu ‘Aura’ untuk lebih memotivasikan diri dalam kehidupan ini. Dengan IzinNYA jua, saya mendoakan agar motivasi diri ini sentiasa segar dan ‘panas’ sepanjang masa.

Akhir kata, saya meminjam kata-kata rakan saya, Saudara Muhtar Suhaili, “Hari ini yang merupakan peluang dan ruang terbaik untuk dipergunakan dengan semaksima mungkin untuk memperbaiki semalam. Hari dan detik ini perlu dipergunakan untuk menuntut ilmu, membuat kebaikan, membina jatidiri dan menyebarluaskan kasih dan sayang. Setiap masa dan ketika, hitunglah laba dan rugi, untung dan dosa!

Sekian, bicara tengahari Rabu.

1.54 petang

9 Rabiul Akhir 1429H