Arkib untuk Disember, 2007

Analisa Diri

Posted in Semasa on Disember 11, 2007 by kayrulzam

Salam hormat buat semua,apa khabar anda?apa khabar kalian semua..

Saya doakan semoga rakan-rakan di luar sana berada dalam keadaan baik dan bertambahnya iman dari setiap saat pergerakan masa. Macam mana perjalanan diari kehidupan kita sepanjang tahun masehi 2007 ini? Pejam celik, naik turun mentari, tenggelam timbul sang rembulan, kita sudah berada di penghujung 2007 ini. Kiraan umur kita pula akan meningkat, jika ada kesempatan dan ruang untuk kita bernafas lagi.

Mari semua, kita buat satu analisis terhadap diri kita. Muhasabah lah selalu dengan itu, kita akan ketahui di mana tanda aras pencapaian diri kita. Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai berita, isu panas, isu terkini dan 1000 lebih macam berita dapat kita dengar dan lihat. Ada sedih, gembira, menakutkan, menyeramkan dan membingungkan. Semua ini rencam kehidupan yang kita tempuhi.  Itu semua sedikit sahaja, cuba kita renungi kisah sejarah perjuangan para Nabi utusan ALLAH S.W.T., para sahabat tercinta, pejuang-pejuang kebenaran, semuanya lebih dasyat titik peluhnya dan titisan darah perjuangannya menegakkan yang Haq ini!

Sebagai generasi muda, saya suka mengingatkan diri saya juga sebagai golongan yang bersama ‘generasi muda’ ini untuk terus dan terus menganalisa diri sejauh mana kerja dakwah kita dari setiap saat, setiap jam, setiap hari, setiap bulan, setiap tahun dan segenap usia kita? Aduh, bagi saya banyak lagi kurangnya! Banyak lagi cacatnya dalam perjalanan hidup kita sebagai Hamba ALLAH S.W.T. di muka dunia ini. Bersama kita segarkan kembali Diari hidup kita sebagai insan yang benar-benar bergelar Manusia!

Nasihat dan Pesanan

Posted in Pendidikan on Disember 4, 2007 by kayrulzam

Allahuakbar! Allah Yang Maha Besar, Maha Pencipta Sekalian Alam..Syukur kepadaNYA, dapat lagi saya bertemu Tuan-tuan, saudara dan saudari sekalian di alam maya teknologi internet ini. Semoga anda semua yang berada walau di mana ceruk rantau dunia dikurniakan kesihatan diri yang baik dan anugerah nyawa yang amat mahal nilainya ini.

Sudah lama saya tidak ‘aktif’kan blog saya ini. Ramai juga ber’sms’, ber’Yahoo Messenger’ bertanya, “Bila nak update wordpress?”, “Aii…lama tak menulis ya”. Itulah antara sepatah dua kata-kata dari sahabat-sahabat saya yang sempat saya rekodkan :) .

Saudara,saudari yang dihormati,

Saya kembali ke alam maya ini untuk coretkan sesuatu dan semoga ia boleh dijadikan panduan kita bersama dan tidak salahnya kita sama-sama memanfaatkan segala yang baik untuk dijadikan yang terbaik dalam kehidupan kita sebagai Hamba ALLAH S.W.T ini. Hari ini, saya ‘curi’ sedikit ruangan masa rehat yang ada ini untuk memberi satu ’senaman’ minda buat diri ini dan rakan-rakan semua mengenai ulasan satu topik berkenaan dengan “Nasihat dan Pesanan”.

Kita sememangnya amat mengetahui kata-kata ‘Nasihat dan Pesanan’ ini. Selalu saja kita mendapat nasihat dan juga memberi nasihat. Begitu juga dengan “pesanan”. Kita seringkali memberi apa jua pesanan sama ada pesanan ringkas atau pun panjang lebar kepada sesiapa saja. Ada kala waktunya, kita juga di’pesan’, mendapat ‘pesanan’ daripada seseorang.

Saya memetik satu artikel berkenaan topik ini di halaman Berita Harian, 4 Disember 2007 :

[NASIHAT menasihati dan berpesan ke arah kebaikan sudah menjadi budaya hidup manusia. Namun, dalam Islam, nasihat memang tidak dapat dipisahkan daripada ajarannya kerana Islam adalah al-Din yang bercirikan nasihat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin." (Hadis riwayat Muslim)

Lebih menariknya, amalan nasihat termasuk antara amalan penyelamat seseorang daripada terjerumus ke lembah kerugian.

Firman Allah bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al-'Asr, ayat 1-3)

Maksud ayat suci itu menyimpulkan antara ciri orang yang beriman kepada Allah ialah sentiasa berpesan atau nasihat-menasihat ke arah kebaikan dan kesejahteraan.
Tidak dapat dinafikan, manusia tidak boleh hidup bersendirian, jauh daripada kelompok masyarakat ramai.
]

Saudara, saudari sekalian,

Itu antara petikan yang sempat saya ‘copy’ dan ‘paste’ untuk kita renungi bersama. Paling utamanya saya ingin berkongsi pendapat anda berkenaan terjemahan ayat suci dari Surah Al-Asr ayat 1-3 yang di atas.

Takut, gerun saya bila mana setiap kali melafazkan ayat-ayat dari surah ini dan mengetahui apa maknanya. Mengenai ibadah nasihat, berpesan,kesabaran dan juga keimanan dan solehnya kita dalam menggunakan masa ciptaan ALLAH S.W.T. ini. Sudah berapa banyak hitungannya kerja baik kita laksanakan sepanjang kita bergelar manusia? Sejauh mana besarnya pengorbanan kita dalam membela Agama ALLAH ini? Aduh!!

Risau dan terus gerun saya bila mana soalan-soalan bonus itu saya lemparkan dalam hati dan jiwa saya sebagai insan ciptaanNYA ini. Semoga dengan kurniaan tulang empat kerat ini, ianya menjadi bekal kekuatan diri kita untuk terus be’KERJA’ untuk me’MANUSIA’kan diri dan menjadikan diri kita ini sebenar-benarnya bertaqwa, beriman dan beramal soleh.

Sama-sama kita rujuki Al-Quran dan Sunnah tinggalan Kekasih Allah Yang Tercinta, Rasulullah S.A.W. dan sejarah perjuangan baginda, salah silah pengorbanan sahabat-sahabiah,pemuda pemudi golongan syuhada’, dan insan-insan bergelar mujahid dan mujahidah Agama ALLAH ini. Lihat kembali segala kisah-kisah sejarah ini dan semoga ianya ada khair yang boleh kita manfaatkan bersama.

Saya merasakan cukup sekadar ini, buat kita kongsikan bersama. Saya mengajak diri saya yang utama untuk menerima nasihat dan pesan ke arah kebaikan dan memberi pesan dan nasihat untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan KITA semua!